MEI 2022

Lebuh Raya Trans Borneo Giat Dilaksana


KUCHING: Kabinet secara dasarnya telah meluluskan projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Pakej Dua Lawas-Limbang seterusnya ke Miri, kata Menteri Kanan Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, fasa satu projek berkenaan dari Lawas ke Long Lopeng sepanjang 77 kilometer (km) kini sedang dilaksanakan.

“Bagi fasa kedua, sedang dalam proses melantik kontraktor selepas dinilai oleh Kementerian Kewangan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Jejambat Batu 10 Seksyen Jalan Kuching Serian, di sini.

Sambil yakin Lebuh Raya Pan Borneo pakej satu itu siap penghujung tahun ini selepas diberi jaminan oleh kontraktor, beliau menegaskan, keseluruhan projek lebuh raya itu kini 82 peratus siap.

Ini katanya, pihak pemaju melaksanakan kerja mengikut jadual yang telah dipinda.

“Ia berdasarkan tidak ada lagi bahagian kerja kritikal untuk dilaksanakan. Jika sebahagian daripada projek lebuh raya itu gagal disiapkan penghujung tahun, ia akan siap sepenuhnya menjelang awal tahun depan,” kata Fadillah.

Fasa satu lebuh Raya Pan Borneo Sarawak yang bernilai RM16.117 bilion meliputi 11 pakej kerja dengan jajaran sepanjang 786 km bermula dari Telok Melano ke Miri dan dimulakan pada Oktober 2015.

Keseluruhan terdapat empat pakej kerja sudah siap iaitu jajaran Telok Melano-Sematan, Nyabau-Bakun, Seerian-Balai Ringin dan Julau.

Manakala bagi cadangan projek Lebuh Raya Trans Borneo, beliau berkata, ia melibatkan tiga seksyen dengan jumlah keseluruan jajaran lebih kurang 96.35 km.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya memberitahu, mungkin ada satu atau dua pakej kerja yang akan dibawa ke tahun hadapan berikutan mengalami sedikit kelewatan.

Kelewatan itu, katanya, cabaran susulan pandemik Covid-19 serta kenaikan harga bahan binaan dan minyak (diesel) selain kekurangan tenaga keraja yang memberi impak terhadap kelancaran kerja-kerja di lapangan.

Pekerja asing, tambah beliau, belum lagi masuk khususnya dari Indonesia dan pada masa ini kerajaan tidak menerima pekerja daripada Bangladesh.

Sumber dari : Jiwa Bakti